Search This Blog

Saturday, June 28, 2014

Tiga pekerja asing maut


ANGGOTA bomba memeriksa kawasan pagar konkrit kilang yang runtuh di Kawasan Perindutrian Tebrau 2, Jalan Angkasa Mas 1, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU 27 Jun - Tiga pekerja asing maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dihempap tembok pagar bata sebuah kilang di Jalan Angkasa Mas 1, Kawasan Perindustrian Tebrau II, di sini hari ini.
Mangsa pertama warga Indonesia dikenali sebagai Sairin, 44, berjaya dibawa keluar pukul 10.20 pagi diikuti warga Bangladesh, Ropon Miah, 27, dan Abdul Kassim, 41, juga dari Indonesia beberapa minit selepas itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pukul 8.30 pagi ketika kesemua mangsa yang bekerja di Kilang MITTI Powers Cables sedang menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di kilang berkenaan.
"Siasatan polis mendapati mangsa sedang mengorek tanah untuk memasang saluran air bagi menyiapkan sistem perparitan di kilang tersebut.
"Tiba-tiba, tembok dinding bata setinggi tiga meter di kilang bersebelahan itu runtuh dan menghempap keempat-empat mangsa yang berada di dalam parit tersebut dengan kedalaman 1.5 meter," katanya di sini hari ini.
Sulaiman berkata, pihak polis serta lima buah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya dan Johor Bahru tiba di tempat kejadian pukul 8.45 pagi.
Katanya, mangsa yang terselamat dikenali sebagai Suhendra, 45, dari Indonesia berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian dan hanya mengalami patah tangan kanan dan punggung kiri.
"Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera itu juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140628/je_01/Tiga-pekerja-asing-maut#ixzz35t4mI128
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment