• Anggota bomba dan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi
kejadian.Anggota bomba dan penyelamat menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

JOHOR BAHRU – Tiga buruh warga asing maut manakala seorang cedera dalam kejadian runtuhan tembok pagar sebuah kilang di Jalan Angkasa Mas, Kawasan Perindustrian Tebrau 2 di sini, semalam.

Mangsa yang maut termasuk dua warga Indonesia dikenali sebagai Sairin, 44 dan Abd Kasim, 41 serta Ropon Miah, 28 warga Bangladesh manakala Suhendra, 45 dari Indonesia dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.35 pagi apabila tembok pagar sebuah kilang runtuh dan menghempap empat pekerja di kilang bersebelahan.

“Ketika kejadian empat pekerja sedang mengorek tanah di tepi tembok berkenaan sejak jam 8 pagi bagi melakukan kerja-kerja pemasangan pembentung untuk menyiapkan sistem perparitan di kilang berkenaan.

“Bagaimanapun, kira-kira 8.35 pagi, tembok yang diperbuat dari bata runtuh secara tiba-tiba dan menghempap kesemua mangsa yang berada di dalam parit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, tembok sepanjang 40 meter itu runtuh secara serentak dan menghempap kesemua mangsa yang ketika itu berada pada kedalaman kira-kira lima kaki pada paras bawah tanah.

Sulaiman berkata, pihak polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang terselamat pada jam 9.10 pagi namun mengalami kecederaan serius di bahagian tangan kanan dan punggung.

“Mangsa yang terselamat mengalami patah tangan kanan dan patah tulang punggung manakala mangsa kedua yang maut berjaya dikeluarkan pada jam 10.48 pagi.

“Sementara itu mangsa ketiga dan keempat dapat dikeluarkan antara jam 10.48 pagi hingga 10.58 pagi,” katanya.

Katanya, mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan susulan manakala mayat mangsa yang dikeluarkan turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat selesai pada jam 11.30 pagi dengan kerjasama 14 anggota polis, 18 anggota bomba dan 5 kakitangan perubatan,” katanya.