Search This Blog

Wednesday, June 25, 2014

Tak guna istilah C4


Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam bahawa pihak pendakwaan dan saksi tidak pernah merujuk bahan letupan digunakan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu adalah C4.

Sebaliknya beliau berkata, bahan letupan C4 dilaporkan oleh pihak media sedangkan pihak pendakwaan dan saksi tidak pernah menggunakan istilah berkenaan.



Katanya, Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta apabila mengatakan responden pertama mempunyai kawalan dan jagaan bahan letupan dengan mengambil kira saksi pendakwaan ke-16 sahaja tanpa memperhalusi keterangan saksi pendakwaan ke-11 di mana ia jelas menunjukkan responden mempunyai peluang untuk menyimpan bahan letupan yang tidak digunakan selepas tamat latihan.

Tun Abdul Majib berkata, demikian dalam prosiding rayuan pendakwa terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang masuk hari kedua, semalam.


Seramai lima hakim bersidang semalam diketuai oleh Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan masing-masing Tan Sri Abdull Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Azilah dan Sirul Azhar juga hadir pada prosiding semalam dan masing-masing diwakili peguam bela iaitu J Kuldeep Kumar dan Kamarul Hisham Kamaruddin.

Pada masa sama, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup ketika ditemui media berkata, bahan letupan yang digunakan dalam kes pembunuhan Altantuya ialah Pentaerythritol Tetranitrate (PETN) dan Cyclotrimethylenetrinitramine (RDX).

Sementara itu, J Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah dalam prosiding berkata, Mahkamah Rayuan betul dalam keputusannya bahawa bahan letupan adalah dikawal sepenuhnya oleh pihak UTK.


Katanya, responden pertama (Azilah) hanya mempunyai latihan asas dan tidak pernah terbabit dalam sebarang operasi untuk mengendalikan bahan letupan.

Prosiding bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/25

No comments:

Post a Comment