Search This Blog

Thursday, June 12, 2014

Tahanan mati tergantung


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Jun 2014

ALOR GAJAH - Seorang tahanan ditemui mati tergantung tanpa berpakaian di sebuah sel di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki dikenali sebagai Basem La Abu Samra, 27, itu ditemui dalam keadaan tergantung dengan seluarnya diikat pada jaringan besi di siling sel individu kem tahanan tersebut, kira-kira jam 5.15 pagi.

Basem yang sudah tiga bulan berada di depot tersebut selepas dipindahkan dari Penjara Kajang dikatakan kini dalam proses penghantaran semula ke negara asal sementara menunggu penyediaan dokumen perjalanan dan tiket penerbangan.

Bagaimanapun, dia yang sebelum ini menjalani hukuman atas kesalahan dadah dan samun itu enggan pulang ke Palestin berikutan sedang membuat permohonan perlindungan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

Pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, sebelum kejadian, mangsa membuat kecoh lalu diasingkan ke dalam sel individu kira-kira 11.45 pagi kelmarin.

“Mangsa terdahulu minta untuk diasingkan daripada tahanan lain dengan alasan mahu membuat ibadat, namun tidak dilayan pihak anggota depot kerana tiada keperluan dia diasingkan.

“Bagaimanapun, dia dipindahkan ke dalam sel individu selepas membuat kecoh dan ditemui mati kurang 24 jam oleh pegawai imigresen yang membuat rondaan,” katanya di sini, semalam.

Menurut Abu Bakar, mangsa sebelum ini enggan bekerjasama dengan jabatannya apabila tidak memberi maklumat hingga menyukarkan pihak kedutaan Palestin mengeluarkan paspot.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Mohamad Laham berkata, mangsa merupakan banduan akhir dilihat kali terakhir sedang baring di dalam sel kira-kira 4.45 pagi oleh pegawai yang meronda.

"Kes disiasat sebagai mati mengejut selain tiada unsur-unsur jenayah dikaitkan atas kematiannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment