BUTTERWORTH - Cubaan seorang pelacur melarikan diri dalam keadaan bogel untuk mengelakkan diri dicekup gagal apabila diberkas Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam serbuan di dua hotel bajet berasingan di Georgetown, semalam.

Itu antara gelagat salah seorang warga asing yang dicekup disyaki melacur dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Basri Othman berkata, pihaknya menahan enam wanita warga asing, dua warganegara Laos, Vietnam (2), Indonesia (1) dan Nigeria (1) yang berusia lingkungan 20 sehingga 35 tahun ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam.

“Lima daripada wanita terbabit memiliki pas lawatan sosial manakala warganegara Nigeria itu pula memiliki pas pelajar untuk masuk ke negara ini.

“Berdasarkan risikan yang dibuat sejak dua minggu lalu, kedua-dua hotel di Jalan Penang dan Lebuh Chulia itu menjadi lokasi untuk mereka tawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran dari RM120 sehingga RM150.

“Kehadiran pelacur warganegara Nigeria ini mula dikesan melalui pantauan yang dibuat dan ini merupakan fenomena baru yang perlu dibanteras,” katanya.

Seramai 25 pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi itu.

Beliau berkata, seorang remaja yang dipercayai sedang melanggan turut menyorok di dalam almari hotel bajet tersebut.

"Remaja tempatan yang berusia 14 tahun itu dibawa ke Pejabat Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya dan keterangannya diambil sebelum dibebaskan.

“Kesemua wanita terbabit dibawa ke Depo Tahanan Imigresen Juru dan disiasat mengikut Akta Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas masuk ke negara ini," katanya.

Dalam pada itu, seramai 55 lelaki warganegara India yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Bukit Jambul, di sini ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, kesemua yang berusia lingkungan 20 sehingga 45 tahun itu bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran terbabit.

“Ada yang sedang melayan pelanggan dan ada yang sedang berehat di asrama yang terletak di tingkat atas bangunan dua tingkat terbabit.

“Keadaan agak kecoh semasa operasi dijalankan memandangkan ramai pelanggan di restoran berkenaan namun dapat dikawal apabila semua pihak memberikan kerjasama.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1956/1963,” katanya.