SENAWANG  - Sebuah syarikat terlibat dalam jualan langsung diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, semalam kerana didapati memproses dan menjual produk kesihatan yang tidak disahkan Kementerian Kesihatan.

Serbuan dilakukan kira-kira 12 tengah hari oleh tujuh pegawai PPDNKK di premis syarikat yang terletak di Taman Tasik Jaya, dekat sini, itu

Dalam serbuan itu, lebih 110 kotak berisi 11 pelbagai produk kesihatan untuk jualan langsung bernilai RM31,662 dirampas.

Selain itu, dua mesin pemprosesan dianggarkan bernilai RM4,000 selain empat buah komputer dan juga dokumen-dokumen berkaitan syarikat terbabit, turut disita.

Penolong Pengarah PPDNKK Unit Jualan Langsung, Mohd Khairuddin Osman berkata, pihaknya menjalankan serbuan berdasarkan aduan diterima orang awam.

“Hasil daripada serbuan ke atas premis dua tingkat dan tempat pemprosesan produk itu mendapati beberapa produk dikeluarkan syarikat itu dijual tanpa disahkan Kementerian Kesihatan.

"Selain itu, syarikat yang wujud sejak 2011 itu menjalankan operasi tanpa lesen yang sah selama hampir setahun selepas tamat tempoh pada Ogos lalu," katanya.

Menurutnya, antara produk yang dirampas adalah Barli Pouch, Tongkat Ali Kotak, Coklat Susu Kambing dan Biocell yang telah siap diproses serta dibungkus.

“Dua ahli kongsi syarikat berkenaan juga turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Mohd Khairduddin berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 Akta Jualan Langsung dan Skim Piramid 1993.

Beliau berkata, serbuan itu adalah yang pertama membabitkan produk jualan langsung dan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke semasa.