SEREMBAN - Seorang penghantar surat terpaksa menangguhkan hasrat mendirikan rumah tangga akhir tahun ini selepas dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Muhammad Shafiq Abu Hassan, 25, yang sudah bertunang empat bulan lalu, dijatuhkan hukuman berkenaan atas dua pertuduhan iaitu merompak dua remaja lelaki dan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian 4 April lalu.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh turut memerintahkan hukuman ke atas tertuduh bagi setiap pertuduhan tersebut dijalankan serentak dari tarikh ditangkap pada 23 April lalu.

Terdahulu, Muhammad Shafiq membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapi selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak seorang remaja, Muhammad Haziq Azman 15, membabitkan wang tunai RM5 dan sebuah motosikal Yamaha 125ZR.

Semasa merompak, tertuduh turut menggunakan sebilah pisau yang boleh mendatangkan cedera parah atau kematian.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak seorang lagi remaja lelaki, Mohd Fiqri Azli, 15, membabitkan wang tunai RM20, sebuah telefon bimbit  jenis Samsung Galaxy Y dan sebuah topi keledar berjenama MS88.

Kedua-dua perbuatan tersebut dilakukan di tepi jalan berhampiran Kolej Vokasional Dato' Undang Haji Mohd Shariff, Rembau kira-kira jam  11.15 malam pada 4 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan.

Tertuduh turut boleh dihukum dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun, denda atau kedua-duanya kerana menyamar sebagai anggota
polis.

Muhammad Shafiq yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya memandangkan ia kesalahan pertamanya.

“Saya juga baru bertunang dan bakal mendirikan rumah tangga akhir tahun ini,” katanya.

Ketika ditanya Jagjit Singh punca tertuduh menyamar sebagai anggota polis, Muhammad Shafiq bagaimanapun gagal memberikan alasan kukuh.

“Saya tidak tahu nak cakap apa. Keadaan terdesak,” katanya.