SETIU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas dirempuh mat rempit yang menunggang motosikal ala ‘superman’ di Kilometer 64 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kampung Nyatoh, Permaisuri, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, anggota terbabit, Mohamad Radhi Somiran, 26, yang bertugas di  Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu patah di beberapa bahagian anggota badan.

Menurutnya, sebelum itu dia bersama dua lagi rakan setugasnya sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan trafik di sekitar kawasan tersebut.

“Tiba-tiba datang tiga motosikal yang ditunggang secara bahaya dalam keadaan (penunggang) meniarap dengan kedua-dua kaki ke belakang datang dari arah Kuala Terengganu.

“Saya cuba arahkan mereka berhenti dengan mengibarkan bendera, namun salah seorang merempuh saya menyebabkan saya tercampak,” katanya yang sudah empat tahun bertugas, di sini.

Mohamad Radhi berkata, akibat rempuhan itu dia mengalami patah tangan, pergelangan dan bahu kiri serta mengalami luka di beberapa bahagian muka dan badan.

Dia yang berasal dari Skudai, Johor berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan tugas sebagai anggota polis trafik, namun selepas ini perlu lebih berhati-hati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Setiu oleh rakan setugasnya dan dibenarkan pulang ke rumah pada malam hari yang sama.

Menurutnya, penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ yang melanggar mangsa turut cedera dan dirawat di hospital sama.

“Penunggang lelaki berusia 21 tahun itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk pulang ke kampung di Besut bersama dua lagi rakannya yang menunggang motosikal secara berasingan,” katanya yang melawat Mohamad Radhi di rumahnya di perumahan polis, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati anggota terbabit telah menjalankan tugas mengikut prosedur, manakala suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan

“Hasil pemeriksaan mendapati lesen milik suspek sudah tamat tempoh manakala motosikal dinaikinya pula tidak mempunyai cukai jalan, namun hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Sementara itu menurut Ab Rahman, keadaan mangsa bertambah baik dan bakal menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Isnin ini.