• mahkamah

JOHOR BAHRU - Seorang Pengarah Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM1.154 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas tuduhan menyalah guna kuasa.
  
Tertuduh, Datuk Abd Rahim Ahmad, 58, yang merupakan Pengarah Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu dalam tempoh sebulan.
  
Hakim Muhammad Jamil Hussin menjatuhi hukuman itu selepas meneliti dan mempertimbang keterangan daripada pihak pembelaan, pendakwaan serta saksi selain menilai bahan bukti secara menyeluruh sepanjang kes itu dibicarakan.
  
Mahkamah mendapati peguam bela tertuduh, M S Vethanayagam gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abd Ghafar Ab Latif.
  
Abd Rahim, selaku pengarah projek bagi kontrak pengurusan fasiliti bangunan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) serta kontrak pengurusan fasiliti bangunan JB Sentral, Bukit Chagar didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan projek untuk adiknya.

Beliau melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat JKR, Aras Empat, Bangunan Sultan Iskandar pada 1.30 tengah hari, 5 Januari 2011.
  
Tertuduh didakwa meminta Pengarah Operasi Kumpulan Syarikat Advanced Maintenance Precision Management Sdn Bhd, Saipolyaszen M Yusop, 44, yang bertanggungjawab untuk pengurusan fasiliti KIK, melantik syarikat YBA Technology Sdn Bhd milik adiknya Mohd Yusri Ahmad, 39, bagi menjalankan kerja sub kontraktor bersangkutan kontrak pengurusan fasiliti bangunan JB Sentral.
     
Kontrak berkenaan adalah melakukan imbangan, pengujian dan penjayaan bagi sistem udara dan sistem air sejuk bernilai RM196,000 dan penjayaan bagi membekalkan pemasangan dan pengujian 'Danfos Motorise Valve' untuk ACMV bernilai RM34,800.
  
Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
  
Bagimanapun, peguam bela tertuduh meminta mahkamah mengurangkan hukuman memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain tidak mempunyai sebarang rekod buruk sepanjang berkhidmat dengan JKR dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan kes dijalankan. - Bernama