• Kedai makan yang diusahakan Sai Kee sejak empat tahun lalu, musnah dalam kebakaran petang kelmarin.Kedai makan yang diusahakan Sai Kee sejak empat tahun lalu, musnah dalam kebakaran petang kelmarin.

SEGAMAT - Seorang pengusaha kedai makan di Jalan Sia Her Yam, di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila premis perniagaan yang diusahakannya sejak empat tahun lalu, terbakar petang kelmarin.

Mangsa, Chong Sai Kee, 66, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, dia berada di rumah di Segamat Baru, sebaik menutup operasi kedainya pada jam 3.30 petang.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai kebakaran ini oleh salah seorang rakan peniaga yang menelefon kira-kira pukul 5.10 petang dan kemudian terus bergegas ke kedai.

“Apabila sampai, api sudah berjaya dikawal dengan sebahagian bawah kedai sudah musnah dijilat api. Saya tidak sempat selamatkan sebarang peralatan yang ada di dalam kedai,” katanya.

Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa, Sai Kee bersyukur kerana kebakaran tersebut berlaku selepas dia menutup kedai.

Menurutnya, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak bomba untuk melakukan siasatan dan akan kembali berniaga selepas kedainya dibaiki pada masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizad Mamat berkata, dia menerima panggilan kebakaran tersebut daripada orang awam yang melihat kepulan asap daripada kedai tersebut kira-kira  pukul 5 petang.

“Tiga jentera bomba iaitu dua dari Bandar Putra dan satu dari Jalan Abdullah dengan kekuatan 20 orang anggota dikejarkan ke kawasan kejadian serta mengambil masa lima minit untuk mengawal dan memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

“Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada kebocoran gas memasak dan mujur kebakaran tersebut  tidak merebak ke premis perniagaan lain,” katanya.