BATU PAHAT – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandu bertembung dengan lori di Kilometer 131, Jalan Johor Bahru – Melaka berhampiran Peserai, di sini.

Kejadian jam 9 pagi itu berlaku setelah kereta Proton Waja yang dipandu mangsa dari arah Batu Pahat gagal memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan lori dari arah Muar.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, disebabkan pertembungan itu, mangsa, Tan Teck Wee, 40, maut di tempat kejadian manakala pemandu lori cedera serta mengadu sakit dada.

“Mangsa dan pemandu lori dihantar ke hospital dan polis masih lagi menyiasat kemalangan yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

Katanya, dia turut menasihatkan kepada pemandu apabila hendak memotong, pastikan keadaan selamat termasuk tidak memotong di garisan berkembar.