Search This Blog

Saturday, June 28, 2014

Lucut jawatan 24 jam jika bersubahat dengan PATI


KOTA MARUDU 27 Jun - Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas melucutkan jawatan ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam tempoh 24 jam jika didapati bersekongkol atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pengganas di negeri ini.
Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan tiada tali barut dan suspek pengganas berada di daerah-daerah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Bagaimanapun, menurutnya, kes seperti itu (ketua kampung melindungi PATI) tidak banyak berlaku kerana pihak unit pemimpin kemajuan rakyat sentiasa memantau dan mana-mana yang bersuhabat akhirnya akan diketahui orang awam.
"Apa yang penting jika kes ini terjadi, tindakan tegas harus diambil terhadap mereka dengan melucutkan jawatan dalam tempoh 24 jam. Kalau tidak mereka akan terus berpura-pura," katanya demikian selepas melancarkan Program Komuniti Belia Esszone peringkat daerah di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini semalam.
Beliau yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, ketua kampung dan pengerusi JKKK perlu bertindak sebagai 'pemain utama' dalam menangani masalah PATI di negeri ini.
Katanya, kerajaan telah mewujudkan Esscom sebagai penyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan di Esszone namun faktor pengumpulan maklumat tepat atau perisikan peringkat akar umbi perlu diberi perhatian.
"Oleh itu, ketua kampung dan pengerusi JKKK memainkan peranan yang penting terutama menyalurkan maklumat mengenai kehadiran PATI ataupun penjenayah di kawasan masing-masing," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140628/je_03/Lucut-jawatan-24-jam-jika-bersubahat-dengan-PATI#ixzz35t6HXjMT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment