Search This Blog

Thursday, June 26, 2014

Keputusan rayuan kes bunuh Altantuya ditangguh


2014/06/26 - 05:02:47

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan semalam, menangguhkan keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang dituduh membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kepada satu tarikh yang ditentukan kemudian.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, membuat keputusan itu selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan selama tiga hari bermula Isnin lalu.

Empat lagi hakim termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum selain tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, manakala Azilah selaku responden pertama diwakili peguam, Kuldeep Kumar dan Sirul selaku responden kedua oleh Kamarul Hisham Kamaruddin.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos tahun lalu melepas dan membebaskan Azilah dan Sirul, yang juga anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada sabitan hukuman mati atas tuduhan membunuh Altantuya pada 2006.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka selepas didapati bersalah melakukan pembunuhan itu di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Dalam prosiding semalam, Tun Abdul Majid, dalam hujah penggulungannya, berkata mahkamah harus mengambil kira mengenai log panggilan telefon Azilah yang menunjukkan beliau berada di Puncak Alam berdekatan lokasi kejadian malam pembunuhan dan bukan di Wangsa Maju seperti yang didakwa dalam alibinya.

No comments:

Post a Comment