Search This Blog

Saturday, June 7, 2014

Keputusan ganti rugi saman Johan Raja Lawak 7 Julai


KUALA LUMPUR 6 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Johan Raja Lawak mengemukakan resit rawatan hospital berhubung kecederaan yang dialaminya akibat dibaling dengan gelas kaca setelah terlibat dalam pergaduhan dengan seorang pengarah drama, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan demikian berikutan tuntutan Johan bagi mendapatkan ganti rugi khas dibuat tanpa sebarang resit, setelah menang dalam kes samannya dan isteri, Ozlyn Wati terhadap pengarah, Mohd. Javed Mohd. Nizar dan syarikat penerbitan drama dan filem, Juara Filem Production Sdn. Bhd., pada Januari lalu.
Hakim Geok Yiam menetapkan demikian selepas menangguhkan sehingga 7 Julai ini keputusan jumlah ganti rugi yang bakal diterima oleh Johan yang sebelum ini dijadualkan pada hari ini.
Penangguhan itu bagi membolehkan mahkamah mendapatkan transkrip perbicaraan penuh dan hujahan taksiran ganti rugi sebelum hakim tersebut memutuskan jumlah ganti rugi yang akan diberikan kepada pasangan tersebut.
Johan atau nama sebenarnya, Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz, 30, hadir tanpa Ozlyn Wati atau nama sebenarnya, Rozlinawaty Ismail, 33.
Pasangan suami isteri itu diwakili peguam Suhaimi Saad manakala Baljit Singh mewakili Mohd. Javed, 38, yang dinamakan sebagai defendan pertama dan Juara Filem Production defendan kedua.
Pada 7 Januari lalu, mahkamah membenarkan tuntutan saman Johan dan isterinya berserta kos terhadap kedua-dua defendan itu manakala taksiran ganti rugi akan ditentukan kemudian. Mahkamah juga memutuskan menolak tuntutan balas RM2 juta yang difailkan oleh pihak defendan terhadap pasangan artis tersebut.
Johan dan Ozlyn Wati selaku plaintif memfailkan saman RM1 juta pada 18 Julai 2010 terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd. Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.
Dalam pernyataan tuntutannya, Johan mendakwa Mohd. Javed juga bertindak menterbalikkan meja di hadapannya dan isteri mengakibatkan Johan turut mengalami kecederaan pada bahagian bawah mata kanan akibat ditumbuk seorang krew penggambaran yang dikenali sebagai Halim.
Johan yang juga pelakon dan pengacara mendakwa, Mohd. Javed dan Halim kemudiannya terus memukul dan menyepaknya dan perbuatan mereka telah dihalang Ozlyn yang menyebabkan isterinya itu turut dipukul.
Beliau juga mendakwa pengarah itu telah menulis dan menyiarkan e-mel berunsur fitnah terhadap mereka berhubung masalah yang ditimbulkan hingga mengganggu set penggambaran dan e-mel itu dihantar kepada Persatuan Seniman Malaysia pada 20 Mei 2010.
Pelawak itu mendakwa kata-kata yang disiarkan dalam e-mel itu membawa maksud bahawa beliau tidak sesuai diambil bekerja sebagai pelakon kerana selalu lambat, tidak bekerjasama dan sering menimbulkan masalah kepada mana-mana pengarah hingga menyebabkan beliau dan isterinya diberhentikan sebagai pelakon dalam drama arahan pengarah itu.
Sehari sebelum kejadian itu, Johan mendakwa, ibunya, Salwa Md. Dani meninggal dunia akibat ketumbuhan otak dan selepas urusan pengebumian ibunya selesai di Ampang, Selangor, beliau dan isteri memutuskan untuk pergi ke lokasi penggambaran di sekitar Sikamat dan mereka tiba di lokasi penggambaran itu pada pukul 4 petang, keesokannya.
Sehubungan dengan itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am RM1 juta, ganti rugi khas untuk perbelanjaan dan kos rawatan serta ganti rugi teruk.
Mereka juga memohon kenyataan maaf dikeluarkan secara terbuka oleh kedua-dua defendan menerusi akhbar dan televisyen tempatan, penarikan balik kesemua surat atau e-mel berbentuk fitnah yang dikeluarkan kepada kesemua persatuan industri, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140607/ma_03/Keputusan-ganti-rugi-saman-Johan-Raja-Lawak-7-Julai#ixzz33vN1oRNh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment