Search This Blog

Monday, June 30, 2014

Kawasan titik panas disiasat, diambil tindakan


2014/06/30 - 05:38:29
Kuala Lumpur: Semua titik panas yang dikesan dalam negara, akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, berkata 16 titik panas dikesan melalui cerapan imej oleh satelit Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan kelmarin, membabitkan masing-masing satu di Selangor dan Johor; Pahang (dua), Sabah (lapan) dan Sarawak (empat).
“Bagaimanapun, satelit tidak dapat memaparkan jumlah sebenar titik panas berikutan cerapan tidak menyeluruh dan ada litupan awan tebal,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Palanivel berkata, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga kelmarin, mengesan 3,973 kes pembakaran terbuka dengan jumlah tertinggi membabitkan kawasan pertanian (1,271 kes), belukar (924 kes), hutan (840 kes), lain-lain pembakaran terbuka kecil (724 kes), tapak pembinaan (117 kes), kawasan pelupusan sampah (69 kes) dan kawasan industri (31 kes).

Beliau berkata, satu titik panas turut dikesan di Sumatera, Indonesia, kelmarin.

Bacaan IPU semakin baik

Sementara itu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat pukul 1 tengah hari semalam, menunjukkan 30 lokasi mencatatkan bacaan IPU baik, sementara 20 lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana.
Sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, lokasi yang mencatatkan bacaan IPU baik termasuklah Kota Tinggi (30), Alor Setar (42), Tanah Merah (30), Jerantut (45) dan Ipoh (47).

Sementara itu, lokasi yang mencatatkan bacaan IPU sederhana ialah Muar (53), Sungai Petani (54), Melaka (68), Port Dickson (71) dan Bintulu (52).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya. Orang ramai boleh merujuk portal www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment