• Mazlan meninjau bangunan sekolah yang menempatkan bilik guru dan perpustakaan yang telah musnah dalam kejadian kebakaran, Khamis lalu.Mazlan meninjau bangunan sekolah yang menempatkan bilik guru dan perpustakaan yang telah musnah dalam kejadian kebakaran, Khamis lalu.

TAMBUN – “Kami hilang punca….” Itulah luahan Pengetua Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Ihtidaiyah, Foziah Jamaludin selepas blok bangunan yang menempatkan bilik guru dan Perpustakaan 1Malaysia musnah dalam satu kebakaran, Khamis lalu.

Beliau berkata, kebakaran itu telah menjejaskan pengajaran dan pembelajaran kepada 150 murid-murid apabila tiada bekalan elektrik akibat insiden itu.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) sudah pun membenarkan sekolah itu ditutup selama seminggu bagi memberi laluan kerja pembersihan serpihan-serpihan kaca yang meletup dalam kebakaran dilakukan untuk keselamatan murid.

“Semua peralatan seperti komputer yang ditempatkan di bilik guru dan perpustakaan musnah, lebih menyedihkan apabila segala rekod pembelajaran murid termasuk laporan prestasi mereka turut musnah sebelum sempat diberikan kepada ibu bapa selepas mereka menduduki peperiksaan baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Foziah yang menjadi pengetua sejak enam tahun lalu berkata, dia menerima panggilan dari pengerusi sekolah yang memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 7.20 malam.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di bilik guru sebelum ia merebak ke perpustakaan bersebelahan menyebabkan kesemuanya musnah dengan anggaran kerugian, mencecah RM440,000.

Beliau berkata, bangunan baharu perlu dibina semula untuk menempatkan semula enam guru sekolah terbabit.

“Apa yang diharapkan adalah pembaikan mahupun pembinaan semula dapat disegerakan berikutan semua guru-guru tiada tempat untuk mereka buat masa ni selain perlu membawa semua kerja pulang ke rumah untuk semakan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ahli  Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mazlan Abd Rahman berkata, tinjauan beliau ke kawasan kejadian mendapati bangunan terbabit perlu dibina semula berikutan keseluruhan bangunan mengalami keretakan dan musnah keseluruhannya.

“Perpustakaan 1Malaysia juga perlu dibina semula dengan kerugian melibatkan lebih RM180,000 setelah sebahagiannya musnah dengan bahan-bahan bacaan turut terbakar menyebabkan murid dan penduduk tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu.

“Kos melibatkan harta benda membabitkan lebih RM120,000 untuk kemudahan guru dan murid selain bangunan berjumlah RM150,000. Pelbagai usaha sedang dijalankan termasuk pihak kerajaan negeri selain dari Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk meringankan beban pihak sekolah,” katanya.

SRAR Al-Ihtidaiyah turut menjalankan kutipan derma bagi membantu menyediakan peralatan sekolah untuk sementara waktu. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun 08013010066700 (Bank Islam) atas nama sekolah terbabit.