Search This Blog

Thursday, June 26, 2014

Gigit telinga balas balingan


Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Hanya disebabkan salah faham berkaitan pen yang dibaling seorang rakan, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah, di sini, cedera di telinga selepas digigit rakannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Isnin lalu, telinga mangsa bukan saja berdarah, tetapi mengalami lebam di beberapa bahagian badan akibat dibelasah oleh rakannya itu.

Sumber berkata, pergaduhan itu dipercayai berlaku selepas mangsa bertanyakan kepada rakannya itu sama ada dia ada membaling pen ke arahnya.

Menurutnya, pertanyaan mangsa itu menyebabkan rakannya itu marah sebelum mengajak bertumbuk, namun mangsa enggan disebabkan takut dibelasah rakannya itu.

“Rakan mangsa yang masih tidak berpuas hati terus mengejar mangsa dan menolak mangsa menyebabkan mangsa jatuh sebelum membelasah menggunakan tangan.

“Mangsa kemudiannya digigit di bahagian telinga sehingga menyebabkan telinganya berdarah dan terus dibelasah di badan serta kepala.



“Selepas membelasah mangsa, rakannya itu terus meninggalkan mangsa dan perbuatan itu bukanlah kali pertama berlaku,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa oleh bapanya untuk membuat laporan di Balai Polis Tambun, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan pergaduhan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria ketika diminta mengulas kejadian itu berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkaitan pergaduhan itu.

Katanya, pergaduhan itu membabitkan kes disiplin di peringkat sekolah dan seharusnya pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit mengikut peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

No comments:

Post a Comment