TANJONG KARANG - "Duit dah habis tapi rumah tak siap!," Itulah keluhan seorang pesara apabila impian untuk menetap rumah sendiri di Kampung Lubuk Jaya, di sini musnah apabila didakwa ditipu kontraktor yang dilantik dan hilang gagal dikesan.

Pesara, Musa Abdullah, 60, berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk mendiami rumah sendiri selepas bersara berkecai apabila projek pembinaan rumah yang hanya tinggal pemasangan bumbung dan lantai masih tergendala sehingga kini.

Menurutnya, dia kecewa apabila melihat rumah idaman masih tidak siap dan terpaksa duduk di estet.

"Duit dan habis bayar kepada kontraktor tapi mereka buat hal pula dan gagal dihubungi memandangkan kontraktor yang dilantik beroperasi di Perak.

"Pakcik buntu tak tahu lagi cara untuk siapkan rumah ini. Nak buat pinjaman mesti tak lepas sebab usia dah lanjut. Sekarang ini pun hanya bergantung pada hasil tani yang cukup-cukup makan saja. Memang duit tak cukup nak simpan buat modal beli barang rumah," katanya sebak ketika dikunjungi Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak di rumahnya.

Musa berkata, dia memohon jasa baik wakil rakyat supaya dapat memberikan cadangan ataupun bantuan kepada keluarganya untuk memastikan rumah yang diimpikan dapat siap dengan sempurna.

“Sekarang ini pakcik bergantung harap kepada wakil rakyat kalau-kalau boleh bantu. Rumah ini pun satu-satunya harta keluarga kami yang masih ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Sulaiman berkata, pihaknya simpati dengan nasib penduduk terbabit yang terpaksa menanggung beban akibat ditipu kontraktor yang diamanahkan untuk menyiapkan kerja pemasangan bumbung dan lantai.

“Saya pun dah lihat keadaan rumah yang cantik cuma masih belum sempurna di bahagian bumbung, tingkap, pintu dan lantai. Kawasan rumah pun semak disebabkan tiada berpenghuni.

“Bila tengok keadaan pakcik itu yang bergantung kepada hasil pertanian selepas bersara, memang tak cukup nak tampung beli barang rumah yang mungkin kosnya bernilai ribuan ringgit," katanya.

Menurutnya, beliau akan cuba mencari mana-mana bantuan yang boleh disalurkan melalui agensi kerajaan memandangkan rumah itu dikategorikan sebagai terbengkalai.

"Agak rumit dari segi permohonan tapi saya akan cuba bantu.

“Mungkin ada agensi kerajaan yang ada menyediakan peruntukan khas untuk bantu menyiapkan projek terbengkalai seperti ini,” katanya yang akan merujuk kepada agensi kerajaan berkaitan dalam masa terdekat.