• Emily Tan turut cedera di dahi, pipi, tangan serta pinggang dalam kejadian itu, manakala Monica retak siku kiri akibat dilanggar mat rempit, awal pagi semalam.Emily Tan turut cedera di dahi, pipi, tangan serta pinggang dalam kejadian itu, manakala Monica retak siku kiri akibat dilanggar mat rempit, awal pagi semalam.

BANDARAYA MELAKA - Seorang wartawan akhbar China Press dan anak saudaranya dirempuh sebuah motosikal selepas sekumpulan mat rempit secara tiba-tiba memecut ke arah mereka ketika hendak melintas di Jalan Hang Tuah, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, Tay Soo Keen, 39, atau lebih dikenali sebagai Monica retak siku kiri manakala Emily Tan Xin Lin, 13, cedera di dahi, pipi, tangan dan pinggang setelah terjatuh di atas jalan raya dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu.

Kedua-dua mereka yang keluar makan bersama lima ahli keluarga lain di sebuah restoran berhampiran, dilanggar sebuah motosikal sebelum sempat menyeberangi jalan untuk pulang ke rumah di Jalan Portugis, Kampung Hulu, dekat sini.

Monica berkata, sekumpulan mat rempit itu datang dari arah Jalan Kubu masuk ke semua laluan di Jalan Hang Tuah menyebabkan dia dan anak saudara yang baru beberapa langkah bergerak hadapan khemah Bazar Mega Ramadan ‘tersepit’ di antara kira-kira 10 motosikal berkenaan.

“Ketika hendak menyeberangi jalan, tiba-tiba sekumpulan motosikal datang ke arah kami. Satu motosikal melalui hadapan dan belakang kami sebelum sebuah motosikal lain merempuh di tengah-tengah menyebabkan kami terjatuh dan cedera.

“Bagaimanapun saya tidak sempat untuk melihat nombor pendaftaran motosikal terbabit,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini, semalam.