Search This Blog

Thursday, June 26, 2014

‘Bookie’ tunggu kaki judi dicekup


Klang: Walaupun sudah diingatkan pihak berkuasa mengenai tindakan bakal dikenakan terhadap ‘bookie’ sempena Piala Dunia 2014, namun masih ada pihak yang sanggup mengambil risiko semata-mata untuk mendapat keuntungan segera.
Ini kerana hasil lumayan diperoleh sepanjang perlawanan bola sepak itu menyebabkan ada antara individu ‘gelap mata’ walaupun tahu bakal ditahan polis.
Terbaru, seorang dalang perjudian bola sepak ditahan dalam serbuan di depan sebuah kafe di Bandar Botanik, dekat sini, ketika menonton perlawanan Piala Dunia, tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat orang awam mengenai kegiatan suspek sejak Piala Dunia 2014 bermula.
“Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan jam 12.30 tengah malam bersama beberapa barangan seperti tablet, kertas taruhan, buku bank, pasport serta RM34.
“Ketika itu suspek duduk di bangku di kaki lima seorang diri sambil menonton perlawanan serta menunggu kaki judi meletakkan taruhan terhadap pasukan pilihan masing-masing,” katanya, semalam.
Kamarul berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati suspek menggunakan laman web www.ibc128.com untuk meletakkan pertaruhan dibuat pelanggan.
“Polis akan memburu sindiket perjudian itu menerusi Ops Soga dan selagi ada taruhan walau dalam jumlah kecil, kita tetap membuat tangkapan.” katanya
Foto
ANGGOTA memeriksa barangan dirampas daripada seorang bookie.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/26

No comments:

Post a Comment