• Bingung tiba-tiba kena tetak

IPOH – Seorang lelaki bingung apabila dia diserang dua lelaki yang tidak dikenali menggunakan parang di kawasan parkir kereta di Pasar Besar Ipoh, di sini, Jumaat lalu.

Pada kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Hassan Basri, 54, cedera parah di tangan kiri dan kepalanya selepas ditetak dua kali selepas dia disyaki menjadi penyalur maklumat kepada polis berkenaan sindiket penjualan barangan terpakai di pasar terbabit.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dua perhatikan suspek berkenaan hanya memerhatikan dia sahaja namun, dia menganggap mereka sebagai pekerja di kawasan terbabit tanpa mengesyaki apa-apa.

“Secara tiba-tiba mereka yang memegang kayu dan parang bertindak berlari meluru ke arah saya. Serangan pertama menyebabkan tangan kiri cedera ketika menahan tetakan tersebut.

“Tiba-tiba kepala saya berasa sakit apabila suspek yang memegang kayu menghentak kepala beberapa kali,” katanya di sini, semalam.

Hassan berkata, dia bernasib baik apabila beberapa orang awam yang melalui kawasan terbabit bertindak melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan.

“Kedua-dua mereka melarikan diri setelah menyedari kehadiran orang ramai dan saya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Rakan sekerja ada memberitahu terdapat beberapa peniaga berasa tidak senang dengan kejadian pekerja baharu seperti saya yang menganggap saya penyalur maklumat kepada polis,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis pekan lama.