PORT DICKSON – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 25 bulan oleh Mahkamah Majistret Port Dickson semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan kelucahan melampau kepada anak tiri perempuannya.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret, M Mageswary setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam dan rayuan tertuduh.

Tertuduh, Ismadi Anuwar Ismail, 24, dari Batu 23 1/2, Ramuan China Besar, Masjid Tanah di sini, menghadapi satu tuduhan mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tempoh penjara sehingga lima tahun dan dikenakan
sebatan jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan tuduhan itu, tertuduh didapati merangsang seorang kanak-kanak untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Mei lalu sekitar jam 6 pagi di bilik utama sebuah rumah beralamat di Kampung Air Meleleh, Port Dickson.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan merayu agar dikurangkan hukuman kerana menanggung anak termasuk anak tiri seramai tujuh orang sementara isterinya tidak bekerja.

Terdahulu, tertuduh mengaku insaf dengan perbuatannya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas tertuduh kerana perbuatannya mendatangkan trauma yang teruk kepada mangsa.