Search This Blog

Thursday, June 26, 2014

78 kes pecah, lari mesin ATM


Mohd. Bakri Mohd. Zinin (kiri) beramah mesra dengan pengurus keselamatan pada Majlis Perjumpaan Pengurus-pengurus Keselamatan Institusi Perbankan Negara bersama PDRM di pejabat Bank Islam, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Suriya Bonma
KUALA LUMPUR 25 Jun - Sebanyak 78 kes pecah dan melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu.
Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan 28 kes diikuti Johor (19); Kuala Lumpur (10); Pahang (4); Sabah, Perak dan Negeri Sembilan (3); Kedah dan Pulau Pinang (2) serta Perlis, Melaka, Kelantan dan Sarawak (1).
Sejak Januari hingga Mei lalu, sebanyak sembilan kes dicatatkan di seluruh negara dengan Selangor dan Kelantan mencatatkan tiga kes diikuti Sarawak, Kuala Lumpur dan Terengganu dengan satu kes.
Bagi kes rompakan bank pula, masing-masing satu kes dicatatkan pada tahun lalu dan tahun ini.
Pada 2013, sebanyak dua rompakan berlaku ketika proses perjalanan wang (cash in transit) berbanding satu kes pada tahun ini.
Beberapa kelemahan dikesan PDRM sehingga menyebabkan berlakunya jenayah pecah ATM serta rompakan bank selain isu kemampuan kamera litar tertutup (CCTV) serta pengawal keselamatan yang diupah.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang berkata, ciri-ciri keselamatan perbankan negara masih mempunyai ruang untuk ditambah-baik.
"Ada perkara yang telah baik tetapi masih ada yang harus diperbaiki. Sebagai contoh ATM, pihak perbankan seluruh negara harus memikirkan mekanisme terbaik agar sistem itu tidak dapat dibolosi penjenayah.
"Masih banyak yang perlu bank lakukan dan baiki untuk mengatasi masalah ini," katanya ketika ditemui dalam Majlis Perjumpaan Pengurus-Pengurus Keselamatan Institusi Perbankan Negara bersama PDRM di pejabat Bank Islam, di sini hari ini.
Mengulas tentang penggunaan senjata api dalam kalangan pengawal keselamatan bank, Mohd. Bakri memberitahu, perkara itu amat dititik beratkan oleh PDRM kerana pihaknya tidak akan membenarkan sewenang-wenangnya pengeluaran lesen carry and use kepada syarikat keselamatan.
"Kita melihat keperluan dalam pemberian lesen senjata api dan perkara itu pun akan diteliti sebaik-baiknya dahulu kerana melibatkan soal keselamatan rakyat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140626/je_05/78-kes-pecah-lari-mesin-ATM#ixzz35hCuk3fc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment