Search This Blog

Thursday, June 12, 2014

4 dituduh rogol 2 gadis


2014/06/12
Kota Bharu: Empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini, semalam terhadap tuduhan merogol dua gadis berusia 15 dan 17 tahun di Ketereh, 20 Mei lalu.

Kejadian itu mendapat liputan luas media sebelum ini kerana membabitkan 21 suspek.
Dua mahkamah berasingan


Di Mahkamah Juvana, seorang remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah merogol remaja perempuan berusia 15 tahun dengan kehadiran orang lain di sebuah rumah kosong di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, antara jam 7.30 malam hingga 11 malam, pada 20 Mei 2014.

Bagaimanapun, seorang lagi remaja berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama terhadap remaja berusia 17 tahun, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad yang kemudian membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM3,000 setiap seorang dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan sehingga sebutan kes pada 13 Julai ini.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjarakan tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun, selain disebat dan dihukum mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.


Dua mengaku tidak salah

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, dua lelaki mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan merogol kedua-dua mangsa yang sama dengan kehadiran orang lain.

Pengakuan itu dibuat tertuduh Muhamed Azroel Hassan, 23 dan Che Azuan Che Hasan, 32, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noor Haslinda Che Seman.

Kedua-dua tertuduh didakwa merogol kedua-dua mangsa berusia 15 dan 17 tahun dengan kehadiran orang lain pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun selain boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Md Zukri dan Asmah Azhari.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun dan rakannya mendakwa menjadi mangsa rogol oleh 38 lelaki, kira-kira jam 7.30 malam pada 20 Mei lalu.

Polis kemudian mengesahkan hanya 21 lelaki terbabit dalam kes rogol dua remaja itu.

No comments:

Post a Comment