• Deputi Superitendan Johari Jahaya Deputi Superitendan Johari Jahaya

TIOMAN - Seorang lelaki warganegara Britain dilaporkan hilang selepas pergi ke kawasan Air Terjun Lubuk Teja, Pulau Tioman, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya berkata, lelaki itu yang dikenali sebagai Gareth David Huntley , 34, dipercayai bekerja dan tinggal di Projek Penyu Juara di Kampung Juara.

"Difahamkan lelaki itu telah pergi ke kawasan air terjun tersebut sendirian kira-kira jam 12 tengahari Selasa lalu.

"Lelaki itu kemudiannya didapati tidak pulang sebelum rakan dan beberapa penduduk kampung keluar mencarinya di kawasan hutan berhampiran air terjun berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Johari berkata, sehingga kini lelaki itu masih belum ditemui dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tioman pada jam 2.13 petang semalam.

Susulan daripada laporan berkaitan kehilangan warga England tersebut, pihaknya telah mendapatkan bantuan dari PGA juga untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat selain bantuan teknikal dari D8 IPK Pahang.

"Polis juga cuba mengesan lelaki itu melalui telefon bimbitnya namun gagal kerana difahamkan tiada liputan di kawasan berkenaan.

"Selain itu kita turut mendapatkan bantuan unit anjing pengesan K9 petang tadi yang dijangka akan tiba di Tioman hari ini," katanya.