Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Warga Iran didakwa miliki wang palsu RM6.5j


KUALA LUMPUR 9 Mei - Seorang pengurup wang warga Iran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki pelbagai mata wang asing palsu berjumlah RM6.5 juta, bulan lalu.
Safari Mollasaraei Mohsen, 54, didakwa memiliki 16,332 keping AS$100 (RM5.3 juta) dan 4,277 keping 50 pound sterling (RM1.2 juta) palsu di No. 10-17-06, Golden City Condominium, Jalan Ipoh, Sentul di sini, kira-kira pukul 3 petang, 23 April lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan didakwa memiliki status penduduk tetap Jepun itu dikemukakan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana pemeriksaan rekod dengan Jabatan Imigresen mendapati lelaki itu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.
Peguam Rajinder Singh yang mewakili tertuduh pula memohon agar mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh tidak dapat memperbaharui pasportnya yang tamat tempoh ketika lelaki itu berada dalam tahanan polis, baru-baru ini.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan dan memerintah pihak pendakwaan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen mengenai status tertuduh.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Mei ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140510/ma_02/Warga-Iran-didakwa-miliki-wang-palsu-RM65j#ixzz31G8HYzxV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment