Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

Warga emas rentung selamat dokumen penting


Dalat: “Saya sudah melarang tapi dia berdegil berlari masuk rumah dengan membawa baldi berisi air untuk memadamkan api kerana mahu menyelamatkan dokumen penting dan senapang patah miliknya,” kata Silip Batin, 62, menceritakan tragedi menimpa suaminya, Siong Meram yang rentung selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Seberang Tengah, di sini, semalam.
Tragedi menyayat hati itu berlaku pada jam 1.40 pagi apabila mayat Siong, 63, ditemui rentung di depan pintu rumahnya dengan separuh anggota badan hilang akibat terbakar.

Sebelum itu, mangsa dikatakan sempat menyelamatkan ibu mentuanya Penai Mo, 82, yang lumpuh sejak 14 tahun lalu namun masuk semula ke dalam rumah.
Silip berkata, pada mulanya tidak menyangka suami menemui ajal dalam keadaan menyedihkan dan hanya mengetahui kejadian itu sebaik api berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian.

“Saya menyangka suami berjaya keluar menyelamatkan diri kerana ketika itu, dia membawa baldi berisi air.

“Sebaliknya, sangkaan saya meleset apabila dikejutkan penemuan objek rentung di depan pintu rumah. Tubuh saya menggeletar kerana saya syak mayat itu adalah suami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Foto
KEADAAN rumah selepas terbakar di Kampung Seberang Tengah, awal pagi semalam. Gambar kecil, Silip.
Menurutnya, kejadian itu turut menggemparkan penduduk kampung yang menggunakan pam air untuk membantu memadamkan api bagi menyelamatkan rumah jiran berdekatan.

“Saya syak suami terperangkap dalam asap tebal sebelum dia pengsan. Dia nekad berpatah balik memasuki rumah kerana perlu menyelamatkan dokumen penting,” katanya.
Sementara itu, adik ipar mangsa, Dora Batin, 59, yang turut tinggal serumah berkata, dia menyedari kebakaran berlaku apabila terasa bahang dalam rumah.

“Apabila melihat api marak, saya berlari bersama ahli keluarga menyelamatkan diri,” katanya yang memberitahu api bermula dari sebuah bilik tidur di bahagian depan rumah terbabit.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mukah Abdul Rashid Morni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.

Beliau berkata, pihaknya menghadapi kesulitan memasuki kampung itu kerana terpaksa melalui jambatan dan jalan sempit.

“Kami juga terpaksa menggunakan mesin pam air untuk menyedut air sungai. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.44 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment