Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Wanita Thai dihukum gantung


ALOR SETAR 12 Mei - Hari Ibu yang disambut semalam tidak memberi sebarang makna bagi seorang ibu tunggal dari Thailand apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar ganja seberat 23.12 kilogram dua tahun lalu.
Saowanee Srisar, 33, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun, terpaksa menerima hakikat tersebut setelah Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes me­lampaui keraguan munasabah.
Tertuduh kelihatan tenang sewaktu hukuman dijatuhkan.
Mohd. Zaki dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam ketera­ngan pembelaannya menafikan bahawa dia ada membawa dua beg berisi dadah ketika ditahan oleh pihak berkuasa.
“Tertuduh tidak menafikan bahawa dia datang dengan bas dari Changlun dan membawa sebuah beg tetapi tertuduh kata beg tersebut diletakkan di ruang letak barang di dalam bas," kata beliau.
Bagaimanapun, kata Mohd. Zaki, saksi pendakwaan dalam kes itu menafikan bahawa tertuduh tidak membawa dua beg tersebut semasa tangkapan dilakukan.
“Setelah meneliti keterangan pembelaan tertuduh, saya dapati ia tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," ujar beliau.
Mengikut kertas pertuduhan, Saowanee dari Samut Prakan dekat Bangkok didakwa mengedar dadah tersebut di Terminal Bas Shahab Perdana, Lebuh Raya Sultanah Sambungan di sini kira-kira pukul 8.45 malam, 21 Januari 2012.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Burhanudeen Abdul Wahab yang mewakili Saowanee berkata, anak guamnya memelihara anak perempuannya setelah bercerai dengan suaminya sejak enam tahun lalu.
"Sebelum ditahan dia bekerja di bahagian mengemas bilik di sebuah hotel di Thailand dengan gaji RM1,000 sebulan selain datang dari keluarga petani yang susah," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140513/ma_03/Wanita-Thai-dihukum-gantung#ixzz31Y95gxQc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment