Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Wanita nekad lawan ular guna pisau lipat


Hong Kong: Seorang wanita nekad menggunakan pisau lipat untuk menyelamatkan anjing peliharaannya daripada dibaham seekor ular sawa Burma ketika membawa haiwan itu berjalan di sebuah taman di sini.

Courtney Link memberitahu akhbar Sunday Morning Post, ular sepanjang lima meter itu membelit anjingnya, Dexter, hujung minggu lalu.

“Saya terkejut melihat kepala ular itu dan terus menumbuknya berkali-kali namun ia tidak melepaskan Dexter.

“Saya yang terdesak terus mengeluarkan pisau lipat dan menikamnya mengakibatkan haiwan itu terus melepaskan anjing saya dan menyelinap ke dalam semak berhampiran.

“Dexter mengalami luka akibat kesan gigitan pada dada dan kakinya,” katanya ketika ditemui.

Jurucakap Jabatan Pemuliharaan, Pertanian dan Perikanan mengesahkan kejadian itu.

Sawa Burma antara ular terbesar di dunia malah mampu membesar sehingga enam meter dan mencapai berat 100 kilogram.

Spesies ular itu juga pemangsa terbesar di Hong Kong dan dikelaskan sebagai haiwan terlindung.

Ular itu jarang ditemui namun kejadian itu bukan kali pertama seekor anjing peliharaan diserang.

Pada 2007 seorang wanita berjaya menyelamatkan anjingnya daripada serangan ular sepanjang 4.5 meter, manakala pada tahun berikutnya seekor anjing baka husky mati dibelit ular.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment