• Rumah kedai yang diperbuat daripada papan musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri PerakRumah kedai yang diperbuat daripada papan musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam. - Foto Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak

SITIAWAN – Empat unit rumah kedai usang dua tingkat berusia kira-kira 40 tahun di Jalan Besar, Ayer Tawar, di sini musnah terbakar awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.12 pagi itu, api nyaris merebak ke bangunan bersebelahan yang menempatkan perkakasan mesin dan alat ganti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Rizuan Ramli berkata, dua jentera dengan kekuatan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira jam 1.12 pagi.

“Kita turut menerima bantuan daripada enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung termasuk sebuah jentera.

“Empat anggota Bomba Sukarelawan Ayer Tawar turut menghulurkan bantuan. Api berjaya dikawal dan operasi tamat kira-kira jam 3.37 pagi tadi (semalam),” katanya.

Rizuan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.