Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Tutup restoran ‘tikus’


Kuala Lumpur: Sebanyak 73 restoran di kawasan Bukit Bintang diarah tutup sementara bagi tujuan pembersihan sepanjang tahun ini kerana gagal menepati standard kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Dr Hayati Abdullah berkata, jumlah itu adalah paling banyak berbanding kawasan lain dalam kawasan pentadbiran DBKL.

Katanya, rata-rata pemilik premis di kawasan ibu kota itu memberi alasan pelanggan ramai menyebabkan mereka tidak berkesempatan membersihkan restoran.
“Walau sesibuk manapun sesebuah restoran itu, pihak pengurusan perlu sekurang-kurangnya membuat jadual tetap untuk membersihkan restoran setiap hari.

“Jika kakitangan premis menangguhkan kerja pembersihan sehingga berbulan-bulan, tidak hairanlah jika restoran dipenuhi lipas dan tikus sehingga menyebabkan keracunan makanan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui dalam Operasi Mesra Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di Lebuh Ampang di sini, semalam.

Dalam operasi berkenaan, tiga premis gagal menonjolkan tahap kebersihan memuaskan sebelum diarahkan menutup sementara, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan premis yang diarah tutup sementara sebanyak 175 restoran.
Foto
ANGGOTA penguat kuasa membuat pemeriksaan pada satu daripada 73 restoran di sekitar ibu kota.
Ketiga-tiga premis berkenaan juga seolah-olah tidak makan saman apabila sudah dua kali berdepan arahan menutup atas kesalahan kotor.

“Premis yang didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan melebihi daripada dua kali, DBKL terpaksa menutup perniagaan mereka bagi tempoh lebih lama berbanding 14 hari yang dikenakan pada kali pertama.
“Restoran yang kotor bukan saja boleh memberi imej yang buruk kepada pelanggan tempatan, malah pelancong juga mengharapkan keadaan yang bersih apabila mereka mengunjungi negara ini,” katanya.

Katanya, pemilik restoran harus bertanggungjawab membersihkan restoran secara keseluruhannya dan bukan hanya memaparkan imej yang bersih di tempat saja. “Jangan hanya memaparkan kebersihan di tempat makan, sedangkan dapur dan ruang memasak dipenuhi dengan lipas dan tikus.

“Pelanggan datang dan bayar bagi makanan yang dipesan, jadi berikan perkhidmatan yang baik dari segi kebersihan kerana itu adalah hak mereka sebagai pelanggan,” katanya.

Katanya, DBKL tidak akan bertolak ansur dalam hal kebersihan terhadap pemilik premis di seluruh kawasan terbabit dengan pelaksanaan operasi dengan lebih kerap setiap minggu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment