Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Tipu: jurujual dipenjara enam tahun, tiga kali sebatan


Chin Ying Hooi cuba menyembunyikan wajah ketika gambarnya dirakamkan oleh jurugambar ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam, selepas dijatuhi hukuman penjara dan tiga kali sebatan kerana menipu. - utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 12 Mei - Akibat mengalami kerugian dalam pelaburan saham, seorang jurujual kad tambah nilai bertindak nekad memperdaya majikannya untuk membayar hutang.
Hari ini, jurujual terbabit menerima balasan apabila dihukum penjara enam tahun enam bulan dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini, setelah mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menipu pesanan kad itu berjumlah RM296,955 milik majikannya, empat bulan lalu.
Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian terhadap Chin Ying Hooi, 30, setelah menerima pengakuan bersalah lelaki itu dan memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 28 Mac lalu.
Dia dihukum penjara antara tiga tahun dan enam tahun enam bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi namun mahkamah memerintahkan hukuman itu dilaksanakan serentak.
Lelaki itu mengaku menipu majikannya, Top Plus Distribution Sdn. Bhd. supaya mempercayai empat syarikat telah membuat pesanan kad tambah nilai DiGi de­ngan nilai jualan antara RM19,000 sehingga RM60,775 melalui lapan invois sedangkan pesanan itu sebenarnya tidak wujud.
Syarikat berkenaan ialah Piramid AV Telecommunications, Oscar Colour Lab & Telecommunication Sdn.Bhd., Neraca Gemilang Sdn. Bhd. dan Talk Station Sdn. Bhd.
Perbuatannya itu telah mendorong majikannya untuk mengeluarkan stok kad tambah nilai ber­kenaan kepadanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Top Plus Distribution Sdn. Bhd., Plaza Prima Setapak 5, Sentul di sini, antara pukul 9.30 pagi dan 6.30 petang, 29 Januari lalu dan tempoh masa yang sama pada 24 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Berdasarkan fakta kes, pengurus syarikat Top Plus Distribution Sdn. Bhd. mendapati lapan invois melibatkan empat syarikat berkenaan masih tidak membuat bayaran kepada syarikatnya.
Hasil semakan mendapati, tertuduh adalah individu yang bertanggungjawab membuat pesanan pelanggan dan seterusnya menghantar stok kad berkenaan kepada empat pelanggan itu.
Bagaimanapun, tertuduh tidak menyerahkan wang jualan melibatkan kelapan-lapan invois itu kepada majikannya sebaliknya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadinya.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar diberi hukuman ringan kerana telah insaf dan menanggung ibu yang sudah tua serta seorang adik yang sedang belajar.
Lelaki itu memberitahu, dia terpaksa mengambil wang itu untuk membayar hutangnya setelah me­ngalami kerugian dalam pelaburan saham.
"Saya ambil wang ini kerana terpaksa dan bercadang untuk menggantinya balik malah saya tidak pernah fikir untuk melarikan diri," ujarnya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan itu dilakukannya berulang kali sekali gus memperlihatkan sifat tamak tertuduh membuat pelaburan yang berisiko tinggi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140513/ma_04/Tipu-jurujual-dipenjara-enam-tahun-tiga-kali-sebatan#ixzz31Y8vCgvV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment