Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Tiga bot nelayan ceroboh Zon B ditahan


30 April 2014


GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang menahan tiga bot nelayan tempatan Kelas C kerana menceroboh kawasan menangkap ikan Zon B iaitu di bawah 12 batu nautika dari pantai di barat daya Pulau Kendi, di sini awal hari ini.

Ketua Penguatkuasanya, Kapten Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, tiga bot yang berpangkalan di Pulau Pangkor dan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada pukul 1 pagi hingga 2.30 pagi ketika sedang menangkap ikan di sekitar tujuh dan lapan batu nautika dari pantai berkenaan.

"Anggota kami yang menjalankan rondaan di kawasan barat daya Pulau Kendi mendapati tiga bot bernombor pendaftaran KHF 2079, PKFB 604 dan SLFA 5005 sedang menangkap ikan dan hasil pemeriksaan mendapati bot kelas C itu telah menceroboh Zon B.

"Kami membawa tiga bot berkenaan ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung, di sini dan menahan tiga tekong serta 56 awak-awak warga Thailand berumur antara 19 hingga 62 tahun," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan melanggar syarat lesen menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai.

Kamaruszaman berkata pihaknya memandang serius aktiviti pencerobohan bot nelayan Kelas B dan C yang menyalahi syarat lesen perikanan kerana kegiatan pencerobohan bot yang bukan di zon yang dibenarkan akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai.

"Dari Januari 2014 hingga hari ini, MaritimPulau Pinang telah menangkap tiga bot kelas B dan lima bot kelas C yang menangkap ikan bukan di zon yang dibenarkan bagi kelas mereka.

"Dalam tempoh yang sama, kami juga manahan enam bot nelayan asing kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dari semua pihak terutama persatuan nelayan kawasan, komuniti nelayan dan semua penguasa bot nelayan Pulau Pinang adalah penting bagi membendung aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang. - Bernama

No comments:

Post a Comment