Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Terus kesan saki-baki Al-Syabab


TAIPING 9 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan intipan untuk mengesan saki-baki anggota kumpulan militan Al-Syabab yang dipercayai mula menyusup masuk ke negara ini sejak dua tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan yang berpangkalan di Afrika itu dikesan memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, pas pekerja dagang dan pas sosial.
Katanya, rata-rata ahli kumpulan berkenaan mengaburi mata pihak berkuasa apabila mendaftar sebagai pelajar di kolej-kolej swasta khususnya akademi bahasa.
“Ada dalam kalangan ahli kumpulan itu juga dikesan sudah berkahwin dengan gadis tempatan. Walau bagaimanapun hasil siasatan kami mendapati kumpulan ini belum melakukan sebarang aktiviti latihan atau pembentukan kem, cuma dari aspek ideologi sahaja.
“Setakat ini hanya seorang ahli kumpulan itu telah ditahan hasil intipan Unit Anti Keganasan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Kami akan terus menjejaki saki-baki kumpulan ini bagi memastikan Malaysia tidak menjadi sarang latihan kumpulan pengganas," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengisytiharan Pusat Koreksional Kamunting, dekat sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas perkembangan kes seorang lelaki warga Somalia yang ditahan dalam operasi khas PDRM di Selangor selepas disyaki sebagai anggota kumpulan pengganas Al-Syabab semalam.
Suspek yang berusia 34 tahun itu juga berada dalam senarai nama dikehendaki polis antarabangsa (Interpol) kerana pembabitannya dalam kegiatan pengganas.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, setakat yang dimaklumkan, jumlah ahli kumpulan itu yang berada di Malaysia ketika ini tidak ramai.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa pihak berkuasa tidak pernah berkompromi dengan sebarang bentuk kegiatan keganasan, apatah lagi sebagai tapak aktiviti militan.
“Kami akan menjejaki ahlikumpulan militan yang menyelinap secara berterusan, kami mahu memastikan Malaysia bebas daripada pengganas," tegas beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140510/je_03/Terus-kesan-saki-baki-Al-Syabab#ixzz31GT6theW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment