Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Tertuduh pertama bawa polis ke lokasi barang kes


SHAH ALAM 30 April - Tertuduh pertama kes pembunuhan pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah telah membawa pihak polis ke beberapa lokasi di sekitar Kedah dan Perak untuk menunjukkan barang yang mempunyai kaitan dalam kes itu.
Pegawai Pencegahan Maksiat, Judi dan Pelacuran (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Mohd. Roslin Mat Isa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pada 16 Mac 2012, tertuduh berkenaan, Mohamad Zul Shahril Suhaimi telah menunjukkan lokasi di belakang sebuah kedai di Changlun, Kedah yang menempatkan sebuah kereta jenis Perodua Kenari berwarna merah.
Menurutnya, tertuduh telah menunjuk arah pihak polis dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor ke lokasi berkenaan.
Keesokan harinya, kata beliau, tertuduh membawanya dan anggota pasukan yang terlibat ke hadapan sebuah sekolah agama di tepi sebuah lebuh raya menghala Pokok Sena, Kedah iaitu tempat tertuduh membuang beberapa barang.
Di lokasi itu, katanya, pasukan terlibat telah menemui sebuah beg komputer riba berwarna hitam, sebuah beg berbentuk empat segi warna yang sama dan sebuah bantal.
Menurut Mohd. Roslin, 38, kira-kira pukul 4 petang pada hari yang sama, tertuduh telah membawa mereka ke sebuah motel di Jitra, Kedah.
“Di motel kami pergi kaunter penyambut tetamu untuk mendapatkan resit yang membuktikan tertuduh ada bermalam di motel tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan Omar Peter, 56.
Dalam kes itu, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara 8 Mac dan 9 Mac 2012.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mohd. Roslin berkata, tertuduh juga telah membawa mereka ke stesen bas Jitra yang terletak berhampiran motel berkenaan untuk menunjukkan kaunter tempat dia membeli tiket bas.
Seterusnya, kata beliau, tertuduh membawa mereka ke kawasan Rehat dan Rawat (R & R) di Sungai Perak, Perak untuk menunjukkan tempat dia membuang sarung tangan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung 2 hingga 6 Jun ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140501/ma_02/Tertuduh-pertama-bawa-polis-ke-lokasi-barang-kes#ixzz30PcrQgmd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment