Search This Blog

Tuesday, May 13, 2014

Terperangkap dalam rumah

WARTAWAN SINAR HARIAN
Syairah Abdul Lajis
Pokok sebesar dua pemeluk yang tumbang menghempap rumah mangsa. 
13 Mei 2014
KUALA PILAH – Sebuah keluarga terperangkap di dalam rumah selepas kediaman mereka dihempap sebatang pokok sebesar dua pemeluk dalam kejadian hujan lebat berserta ribut di Kampung Dioh kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.

Dalam kejadian itu, dua lagi rumah penduduk berhampiran turut rosak.

Mangsa, Wing Lee Che, 21, berkata, ketika kejadian dia bersama enam ahli keluarganya terperangkap di dalam rumah selepas pokok berusia 70 tahun itu tumbang menghempap bahagian ruang tamu.

Menurutnya, kira-kira jam 4.15 petang, hujan sangat lebat berserta angin kencang dan dia tidak fikir apa-apa cuma menjenguk ke luar tingkap melihat angin sangat kuat.

“Ketika kejadian kami semua berada di ruang tamu. Namun secara tiba-tiba terdengar seperti bunyi bising dari arah luar rumah.

“Sekelip mata sahaja, siling rumah runtuh dan kami bertempiaran lari menyelamatkan diri masing-masing. Mujur, pokok tersebut tidak hempap tempat di mana kami semua berada,” katanya ditemui di rumah bernombor 244B Kampung Dioh.

Lee Che berkata, bila melihat keadaan itu, dia bersama ahli keluarganya berlindung di sebuah bilik bersebelahan ruang tamu.

"Ketika itu, kami semua berada dalam ketakutan dan selepas bertenang kami mencari jalan keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Kami keluar dari celah rekahan dinding kayu rumah runtuh. Bila keluar, alangkah terkejutnya selepas melihat sebatang pokok berusia 70 tahun menghempap rumah kami," katanya yang turut memberitahu beberapa perkakas elektrik juga rosak.

Katanya, akibat kejadian itu, dua adiknya cedera ringan di tangan dan kepala selepas terkena kayu siling rumah yang jatuh.

"Kini kami sekeluarga tiada tempat tinggal berikutan rumah ini tidak selamat diduduki dan terpaksa menumpang teduh di sebuah rumah lama di tokong dekat sini buat sementara waktu.

"Oleh itu, kami berharap pihak berkenaan dapat membantu mengurangkan beban kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, ayah Lee Che, Gan Boon Ngar, 48, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada jam 8.48 malam.

Boon Ngar berkata, kerugian yang dialami keluarganya masih dalam siasatan kerana belum mengenal pasti kerosakan barang, namun peralatan elektrik seperti televisyen rosak akibat terkena hujan.

Dalam pada itu, kejadian angin kencang turut merosakkan bumbung di beberapa di kedai Bazar 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment