Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Sindiket palsu dokumen terancang


Kuala Lumpur: Sindiket pemalsuan dokumen kenderaan mewah sangat terancang, licik dan teliti hingga pegawai kastam yang membuat semakan boleh terperdaya dan meluluskan kemasukannya ke negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, sindiket terbabit akan memalsukan borang kastam tertentu sebelum membawa masuk kenderaan yang didaftarkan di Pulau Langkawi ke tanah besar Semenanjung Malaysia untuk dijual sebelum digunakan pembeli.


“Borang kastam itu seakan sama dengan yang asal, cuma nombor borang, pegawai yang meluluskan dan beberapa elemen lain dipalsukan. Ia mungkin sukar dikesan orang awam dan pegawai tertentu,” katanya sambil memberitahu, kereta itu kemudian dijual dengan harga murah kepada pembeli.



Menurutnya, sindiket itu dipercayai terdiri daripada ejen atau penjual kenderaan mewah yang mahu mengaut keuntungan mudah dengan menipu pembeli.


“Antara penipuan lain yang sedang disiasat JKDM ialah kegiatan sindiket yang menggunakan dokumen palsu untuk membatalkan geran asal kenderaan bebas cukai. “Jika anda mendaftarkan kenderaan di Langkawi, pada geran kereta akan tertera ‘cukai belum dibayar’.


“Sebelum membatalkan ‘cukai belum dibayar’ pada geran, setiap pemilik ataupun individu perlu mengemukakan dokumen pembayaran kepada JPJ. Jadi, mereka (sindiket) memalsukan dokumen berkenaan. Apabila mereka berjaya melakukannya (membatalkan cukai belum dibayar), kenderaan itu akan dijual kepada pembeli,” katanya.

Menurutnya, sindiket juga dikesan akan cuba melakukan pertukaran hak milik kenderaan itu kepada sekurang-kurangnya tiga individu yang dipercayai ahli sindiket bagi menghilangkan secara langsung catatan Langkawi yang tertera dalam geran.


Beliau berkata, siasatan terperinci mengenai perkara berkenaan sedang dilakukan pegawai penyiasat JKDM yang kini meneliti hubung kait kumpulan sindiket terbabit. Namun, perkara itu belum boleh didedahkan kerana siasatan lanjut sedang dilakukan.

Rekod menunjukkan dalam tahun 2012 dan 2013, 500 kereta mewah dibeli dan didaftarkan di Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/30

No comments:

Post a Comment