Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Sepantas kilat penyamun buka pintu


Alor Setar: Seorang wanita berdepan detik cemas disamun dua lelaki menyamar anggota polis dengan bersenjatakan parang menyebabkan mangsa kerugian RM40,000 dalam kejadian di Kampung Tengah, Kuala Kedah, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku jam 8.20 malam ketika mangsa, Faridah Mohamad, 46, sedang menonton televisyen bersama seorang anak saudaranya sebelum didatangi dua suspek berusia 20-an itu.

Faridah berkata, kedua-dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil meminta kebenaran masuk ke rumah membuat pemeriksaan.

“Apabila saya enggan membuka pintu, mereka mengugut mahu menendang pintu rumah sehingga pecah dan mahu membawa lebih ramai anggota polis bagi menakutkan saya.

“Bimbang dakwaan lelaki itu saya membuka satu tingkap dan meminta mereka menunjukkan waran geledah dan kad kuasa polis, namun sepantas kilat seorang daripada mereka memasukkan tangan dan membuka tombol pintu dari dalam rumah.

“Sejurus masuk, mereka menolak saya sehingga jatuh sebelum mengunci pintu rumah,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudian mengikat kedua-dua tangannya dan juga anak saudaranya menggunakan kain lalu mengeluarkan parang sebelum mengugut menyerahkan semua barang kemas serta wang tunai.

“Mereka masuk ke dalam bilik dan menggeledah bilik sebelum melarikan rantai emas, loket emas, gelang emas, cincin emas dan wang tunai berjumlah RM1,000 dengan nilai dianggarkan RM40,000 lalu menumbuk kepala saya beberapa kali sebelum beredar,” katanya.

Dia kemudian menjerit sekuat hati meminta bantuan selepas kedua-dua lelaki terbabit beredar sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

No comments:

Post a Comment