Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Didakwa miliki duit palsu RM6.5j


Oleh Sarah Zulkifli
Kuala Lumpur: Seorang broker pasaran mata wang asing warga Iran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas pertuduhan memiliki pelbagai mata wang asing palsu berjumlah RM6.5 juta, bulan lalu.

Safari Mollasaraei Mohsen, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 16,332 keping AS$100 (RM5.3 juta) dan 4,277 keping 50 pound sterling (RM1.2 juta) palsu di sebuah rumah di Golden City Condominium, Jalan Ipoh, Sentul di sini, jam 3 petang, 23 April lalu.



Pendakwaan terhadap tertuduh yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan didakwa memiliki status penduduk tetap Jepun itu dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana pemeriksaan rekod dengan Jabatan Imigresen mendapati lelaki itu tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Bagaimanapun, peguam Rajinder Singh yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh tidak dapat memperbaharuinya kerana ia sudah luput tarikh ketika tertuduh berada dalam tahanan polis, baru-baru ini.


Erry Shahriman bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memerintah pihak pendakwaan untuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen mengenai status tertuduh.


Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 19 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment