Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Seludup diesel guna tonto


Oleh Salman Hamat
Butterworth: Satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dikesan menggunakan khidmat tolong orang nak tipu orang (tonto) dalam usaha melindungi kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan.

Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Md Nasir Mohamad berkata, taktik itu menyebabkan beberapa serbuan diatur pihaknya gagal selepas pergerakan mereka dihidu tonto terbabit.

Bagaimanapun, katanya, beliau bekerja keras mengumpul maklumat dan membuat pemantauan termasuk menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang sedang membeli diesel bersubsidi dalam jumlah banyak di sebuah stesen minyak di Jalan Jelawat, di sini, jam 10 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori digunakan, kami menemui tangki tambahan dalam ruang penyimpanan barang yang turut dilengkapi sistem pam khas bagi menyalurkan minyak diesel dibeli ke dalam bekas penyimpanan itu.

“Diesel dirampas sebanyak 1,100 liter yang dianggar bernilai RM2,200 dan berdasarkan muatan bahan bakar ditemui dalam tangki simpanan, lelaki berkenaan disyaki sudah mengisi bahan bakar itu dari beberapa stesen minyak berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, taktik menggunakan tonto oleh sindiket terbabit adalah kes pertama dikesan di negeri ini berikutan sebelum ini khidmat kumpulan berkenaan kebiasaannya bertujuan melindungi aktiviti penjualan video cakera digital (VCD) cetak rompak.

Malah, maklumat mengenai sindiket berkenaan membeli bekalan diesel di stesen minyak berkenaan sudah lama diperolehi, tetapi serbuan dilakukan kerap bocor dipercayai angkara tonto.

“Mengikut maklumat, tonto akan berkeliaran di sekitar stesen minyak menyebabkan kami gagal menahan anggota sindiket yang sempat meloloskan diri sejurus menerima maklumat mengenai kehadiran pegawai penguat kuasa.

“Pada waktu siang, sindiket biasanya akan singgah di beberapa stesen minyak bagi membeli bekalan diesel dan pada sebelah malam mereka akan tertumpu pada sebuah premis sahaja dan membeli bahan bakar itu dalam jumlah banyak,” katanya.

Md Nasir berkata, sindiket biasanya akan menggunakan peluang yang ada untuk membeli minyak diesel dalam jumlah maksimum sehingga 250 liter bagi setiap pembelian seperti dihadkan bagi sesebuah kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki yang ditahan adalah pekerja kepada sindiket berkenaan yang diarahkan untuk membeli minyak diesel sebelum dikumpul dan dijual kepada pihak ketiga dengan harga lebih mahal.

“Kami turut menyita pam minyak ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM250,000 penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment