Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Selera terbantut sayur ada ulat

MASTURAH SURADI
Selera terbantut sayur ada ulat
Ulat sayur yang ditemui dalam hidangan tengahari Ngatini. 
30 April 2014
KOTA TINGGI – Selera makan seorang pelanggan wanita terbantut apabila dia menemui seekor ulat dalam sayur turi lemak ketika menjamu selera di salah sebuah restoran di Bandar Penawar, di sini.

Mangsa, Ngatini Karchin, 50, berkata, ketika kejadian, hampir separuh daripada nasi yang diambil telah habis dimakan sebelum dia menjumpai ulat sepanjang dua sentimeter.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarganya turut tergamam dan terkejut selepas melihat ulat seakan ulat sayur di dalam makanannya.

“Biasanya, saya memasak di rumah untuk hidangan makan tengah hari, namun kebetulan pada hari itu salah seorang anak mengajak saya makan di luar. Ketika itu, saya mengambil nasi putih bersama lauk ikan, telur masin, sayur goreng dan turi lemak yang juga menu kegemaran.

“Ketika sedang menjamu selera, tiba-tiba saya terpandang ulat tersebut berhampiran sayur di dalam pinggan. Pada mulanya, saya agak was-was, namun selepas menunjukkan kepada anak dia turut tergamam dan memberitahu ia benar-benar ulat,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, selera yang pada awalnya membuak-buak terus terputus membuatkan tekaknya loya dan hampir muntah.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah beberapa kali mengunjungi restoran tersebut, namun tidak pernah berhadapan kejadian seperti itu.

Katanya, diharap insiden tersebut menjadi iktibar kepada peniaga dan pengusaha kedai makan serta restoran agar menitikberatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Bukan niat hati untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sebagai pengguna, saya berharap agar insiden seumpama ini tidak berulang.

“Tambahan pula, kebersihan perlu diutamakan bagi  menarik kedatangan pelanggan ke sesebuah restoran,” katanya.

No comments:

Post a Comment