Search This Blog

Saturday, May 31, 2014

‘Saya lihat kanak-kanak itu dibawa suspek’


Kuala Lumpur: “Saya lihat kanak-kanak itu dibawa seorang lelaki turun dari tingkat empat, tetapi tidak menyangka buruk kerana dia sering bermain di pusat beli-belah ini bersama ibunya,” kata seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Plaza Kota Raya, semalam.

Menurut lelaki yang enggan dikenali berusia 40-an itu, dia sering melihat kanak-kanak terbabit berkeliaran dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang menegurnya.


Katanya, kanak-kanak itu juga akan diberi makanan oleh orang ramai membuatkannya tidak bersangka buruk pada lelaki yang membawa mangsa sebelum kejadian menyayat hati itu. “Ibu mangsa akan membawanya ke sini (Plaza Kota Raya) hampir setiap hari untuk melepak bersama rakan-rakannya yang kebanyakan lelaki. Ini bagaikan rumah kedua mereka.



“Saya hanya mengetahui mangsa dibawa lari dan dibunuh selepas membaca laporan hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui semalam.


Katanya, dia tidak mengenali suspek iaitu seorang lelaki berkulit gelap dan tidak pernah dilihat bersama mangsa sebelum ini.


Pengawal keselamatan itu berkata, kanak - kanak itu dilihat mengikuti suspek dengan riang kemungkinan selepas disogok dengan barang makanan seperti biasa diberikan pengunjung lain. ke pusat beli belah berkenaan.

Sementara itu, mangsa yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda, Gombak, semalam.


Tinjauan Harian Metro di Pusat Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam mendapati ibu kanak-kanak terbabit, seorang gelandangan bersama rakan- rakannya yang turut berpakaian lusuh datang menuntut jenazah mangsa pada jam 9 pagi.

Bagaimanapun, ibu mangsa dilihat dibawa polis untuk diambil keterangan sebelum kembali ke HKL pada jam 2 petang. Jenazah mangsa dimandikan dan dikapankan selepas bedah siasat jam 3 petang.


Ibu mangsa Siti Salmy Soib, 32, yang ditemui di tanah perkuburan bagaimanapun enggan ditemuramah selepas dilihat masih bersedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment