Search This Blog

Friday, May 16, 2014

‘Rezeki terpijak’ bertukar malang


Kuala Lumpur: Impian seorang wanita untuk mendapat rezeki terpijak melalui perkenalan dengan seorang lelaki warga Kanada di Facebook berakhir dengan kerugian apabila dia terpedaya dengan sindiket penipuan didalangi warga Afrika.
Mangsa yang berusia 20-an dikatakan terpedaya selepas lelaki yang dikenali selama sebulan itu mendakwa mahu memberikan wang simpanannya iaitu £10,000 (RM50,000) kepada mangsa sebagai hadiah.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, suspek juga meminta nombor akaun serta telefon mangsa dan berjanji membuat pemindahan wang dalam tempoh dua hari.
“Selepas dua hari, mangsa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai perunding lalu meminta dia memasukkan wang RM1,350 sebagai yuran pelepasan urusan pemindahan wang ke dalam akaun mangsa.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa memasukkan jumlah wang yang diminta ke dalam akaun tetapi menyedari ditipu selepas tidak pernah menerima wang yang dijanjikan menyebabkan dia membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, susulan laporan itu, polis Bahagian Operasi dan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melakukan operasi bagi mengesan suspek.
“Dalam operasi itu, kami ke sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras pada jam 1 tengah hari semalam (kelmarin) dan menahan lima lelaki warga Nigeria berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Hasil pemeriksaan, semua suspek adalah pelajar di beberapa kolej swasta sekitar Lembah Klang.

Kami merampas enam komputer riba dan sembilan telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).
Foto
MOHAN (dua dari kanan) menunjukkan antara barang rampasan daripada warga Afrika.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/16

No comments:

Post a Comment