Search This Blog

Friday, May 30, 2014

Polis tumpaskan 'Geng Kerol'


LAI Yong Heng (tiga dari kiri) memeriksa rangka motosikal curi termasuk yang telah dibuang oleh 'Geng Kerol' di sebatang sungai di Bachok dan beberapa buah rumah di sekitar Kota Bharu di IPD Pasir Mas, Kelantan, semalam.
PASIR MAS 29 Mei - Satu kumpulan curi motosikal dikenali sebagai 'Geng Kerol' yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di empat buah negeri sejak setahun lalu, tumpas selepas pihak polis memberkas tujuh individu termasuk ketuanya dalam Op Lejang Khas, pada 15 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, hasil penahanan kesemua suspek berusia 21 hingga 32 tahun di sekitar Kota Bharu dan Bachok, pihaknya turut merampas sebanyak 120 buah rangka motosikal curi di sebatang sungai di Bachok serta di beberapa buah rumah.
Katanya, siasatan mendapati ketua kumpulan dikenali sebagai Kerol, 20-an, menjadikan Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh untuk menjalankan kegiatan jenayah itu selain tiga buah negeri iaitu Perak, Terengganu dan Johor dengan anggaran kerugian RM300,000.
"Daripada ketiga-tiga daerah itu, Kota Bharu mencatatkan jumlah kes kecurian motosikal paling tinggi," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Pasir Mas, Deputi Supritendan Shamsulmudin Sulaiman.
Yong Heng memberitahu, kebanyakan motosikal dicuri adalah daripada jenis Honda EX5 yang kemudian akan dileraikan sebelum komponennya dijual.
"Kita percaya penangkapan ahli kumpulan terbabit mampu mengurangkan kadar kecurian motosikal di negeri ini. Pada masa sama, kita masih lagi giat memburu saki-baki anggota kumpulan tersebut," jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140530/je_06/Polis-tumpaskan-Geng-Kerol#ixzz339SHei4L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment