Search This Blog

Monday, May 26, 2014

Polis temui semula 42 tan baja bersubsidi dicuri


25 Mei 2014


SUNGAI PETANI - Polis Kedah merampas 42 tan baja bersubsidi bernilai RM80,000 di sebuah stor kilang padi di Sungai Limau, Yan awal pagi tadi, setelah dicuri bersama sebuah treler dua hari lepas.
   
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam kejadian itu pihaknya menahan tiga suspek lelaki berusia 31 hingga 38 tahun dalam tiga serbuan berasingan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri baja berkenaan dari sebuah treler Jumaat lepas.
   
Beliau berkata treler dengan muatan baja bersubsidi itu diletakkan berhampiran kilang baja Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Gurun pada hari kejadian dipercayai untuk dihantar ke Jerlun dan pemandu treler itu mendakwa hanya menyedari kehilangan treler itu keesokan hari.
   
"Pemandu berusia 31 tahun itu membuat laporan polis tetapi laporan yang dibuat mencurigakan. Kita tahan pemandu treler tersebut dan juga pengawal keselamatan kilang Nafas untuk siasatan.
   
"Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek kita menemui treler yang hilang di tepi jalan di Sungai Limau, Yan itu kosong kira-kira pukul 8 malam semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
   
Ahmad berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki iaitu pihak ketiga yang membeli baja tersebut kira-kira pukul 1 pagi tadi dan menemui kesemua baja yang dicuri itu di sebuah stor kilang padi di Sungai Limau, kira-kira lima kilometer dari tempat treler ditemui.
   
"Ini adalah kes pertama di negeri ini melibatkan kecurian kargo dan kita berjaya selesaikan kes ini dalam tempoh 48 jam serta berjaya dapatkan kembali kesemua baja dan kenderaan yang dicuri dengan jumlah lebih RM200,000," katanya.    

Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment