Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Polis kaji dakwa bapa kanak-kanak hilang


KOTA KINABALU 11 Mei - Polis sedang mengkaji untuk mendakwa bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Low Min You yang dilarikan bersama kenderaan Hilux-Vigo yang ditinggalkan bapanya di sebuah stesen minyak di Kampung Air, di sini, awal pagi Jumaat lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pihaknya mungkin akan menyiasat bapa kanak-kanak itu, Low Yee Shang, 31, di bawah Akta Kanak-Kanak kerana kecuaian meninggalkan anaknya di dalam kenderaan pacuan empat roda dengan enjin masih hidup.
“Kanak-kanak itu masih belum (dapat) dikesan dan saya mengarahkan pihak OCCI (Ketua Jabatan Siasatan Jenayah) mengkaji siasatan.
“Mungkin mendakwa (si bapa) di bawah Akta Kanak-Kanak atas kecuaiannya meninggalkan anak yang masih kecil dalam kenderaan dengan enjin hidup dan pergi ke tandas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hamza berkata, polis menjalankan ‘Op Tutup’ bagi menjejaki kanak-kanak itu di seluruh negeri termasuk di terminal bas dan laluan sempadan negeri Sarawak.
“Berdasarkan maklumat setakat ini tiada perkembangan terbaharu dan kita masih menjejaki kanak-kanak itu ke seluruh negeri," katanya.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa berpakaian baju T putih dan berseluar pendek difahamkan sedang lena tidur di dalam kenderaan berkenaan sebelum polis menemui kenderaan itu di Menara Jam, Bukit Bendera pada kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat lepas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengurung dengan sulit atau dengan salah yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian 088-529270, 088-529207 atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-3572935. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140512/je_05/Polis-kaji-dakwa-bapa-kanak-kanak-hilang#ixzz31RprWsId
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment