Search This Blog

Monday, May 19, 2014

Pijak mayat rakan

Soma, Turki: Murat Yokus mungkin sangat bernasib baik kerana terselamat daripada kemalangan maut di lombong arang batu beberapa hari lalu, namun apa yang dilaluinya mungkin akan kekal di ingatan.

Dalam kejadian itu Murat menyaksikan sendiri seorang demi seorang rakannya rebah dan berhenti bernafas dalam terowong dipenuhi asap berbahaya.

“Saya terpaksa memijak mayat kawan-kawan untuk menyelamatkan diri,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Lima hari selepas tragedi itu berlaku, Murat, 29, masih ingat bagaimana hari malang itu berlaku. Dia adalah seorang daripada 485 pelombong yang bernasib baik kerana belum dijemput ajal berbanding 301 pekerja lain yang meninggal dunia. Kata Murat, apa yang berlaku itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. “Saya bersiap-siap untuk keluar dan pulang apabila kami nampak asap datang.

“Mula-mula ketua pekerja mengarahkan kami menunggu tetapi kami lama-kelamaan kami hilang sabar,” katanya.

Ketika itu Murat bersama kira-kira 100 yang lain berhimpit-himpit dalam kawasan seluas 200 meter persegi di bawah tanah. Apabila mendapat tahu sebahagian daripada rakan sekerja mereka di bahagian lain lombong itu terbunuh, Murat memutuskan untuk melanggar perintah ketuanya. “Saya berkata kepada diri sendiri - saya tidak akan mati hari ini,” katanya. Dia mengambil topeng oksigen yang tidak pernah digunakannya sebelum ini dan mula berjalan. Sesekali, katanya, ketika dia menoleh ke belakang, Murat dapat melihat ramai rakannya rebah.
Foto
PEKERJA lombong berbual berhampiran sebuah tugu di bandar Soma, barat Turki.
“Mereka lemas dan menggelupur bagai haiwan yang disembelih tetapi saya menguatkan semangat dengan mengenang anak dan isteri di rumah,” katanya. Sejurus kemudian, kata Murat, dia juga pengsan namun bernasib baik kerana ditemui penyelamat dan dibawa ke luar. “Kami memang sedar bahaya yang menanti apabila menerima tawaran bekerja di lombong ini, namun apa yang berlaku di luar jangkaan,” katanya. Sementara itu seorang lagi pelombong, Erdal Bicak percaya dia ada jawapan mengapa rakan sekerjanya terbunuh dalam tragedi itu. Bagi Erdal kesalahan perlu diletakkan kepada syarikat pelombong kerana cuai. Erdal, 24, berkata syarikat pengendali lombong itu memang memiliki mesin menyukat paras gas metana dan pada hari kejadian, kandungannya terlalu tinggi.

“Syarikat itu tidak memaklumkannya kepada kami,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/19

No comments:

Post a Comment