Search This Blog

Monday, May 12, 2014

Penembak warga emas dipecat


Hearne: Pegawai perbandaran di sebuah pekan kecil di pusat bandar Texas kelmarin mengundi untuk memecat anggota polis yang menembak mati seorang warga emas berusia 93 tahun beberapa hari lalu.

Kejadian itu berlaku ketika Stephen Stem berdepan dengan wanita itu yang bersenjatakan pistol di kediaman mangsa.

Media tempatan melaporkan, keputusan sebulat suara untuk Stem itu dibuat selepas satu perbincangan singkat diadakan majlis perbandaran berkenaan.

Datuk Bandar Ruben Gomez berkata dia akan mencadangkan pemecatan Stem yang menembak mati Pearlie Golden baru-baru ini.

Gomez berkata demikian kepada penunjuk perasaan yang berarak di bandar itu mengecam tindakan berkenaan dilakukan ke atas wanita yang dikenali sebagai ‘Miss Sulie’ dalam kalangan penduduk tempatan.

Polis Hearne dalam kenyataan memberitahu, Pearlie sedang “mengacukan pistol” ketika Stem tiba di tempat kejadian, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Stem digantung tugas sementara siasatan mengenai perkara itu dijalankan.

Anak saudara Pearlie, Roy Jones memberitahu media bahawa ibu saudaranya berang selepas dihalang memperbaharui lesen memandu.

“Pearlie mencapai pistol berkenaan apabila saya enggan memulangkan semula kunci keretanya,” katanya.

Jones berkata, dia yang menghubungi polis dan menyatakan Pearlie melepaskan dua das tembakan ke tanah sebelum Stem bertindak balas menembaknya.

Pihak berkuasa melaporkan, pistol yang dipercayai digunakan Golden ketika itu ditemui di tempat kejadian.

Peguam Daerah Robertson County, Coty Siegert berkata kerana kes itu masih dalam siasatan, dia tidak boleh mengesahkan atau menafikan Golden melepaskan tembakan.

Pemeriksaan awal mendapati Golden ditembak sebanyak dua kali di badan dan rebah pada tembakan ketiga.



- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/12

No comments:

Post a Comment