Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Pencuri wang tabung masjid ditangkap


KEMAMAN 9 Mei - Bagi mendapatkan wang de­ngan cara mudah atau mungkin begitu ter­desak, seorang lelaki tergamak mencuri wang dalam tabung masjid dengan ditemani isteri dan anaknya di Masjid Pengkalan Pandan, Cukai, awal pagi kelmarin.
Bagaimanapun suspek berusia 28 tahun itu hanya sempat mengeluarkan sekeping not RM1 sebelum melarikan diri selepas menyedari ge­rak-gerinya dilihat oleh seorang anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang sedang melakukan rondaan.
Anggota SRS itu, Mohd. Talib Yahaya, 43, berkata, dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu dia bersendirian di sekitar kawasan masjid dan ternampak sebuah kereta Perodua masuk ke dalam perkarangan masjid.
“Biasanya empat anggota SRS meronda bersama-sama tetapi malam tadi kami berpecah. Semasa kereta itu masuk ke kawasan masjid, saya berada di kawasan gelap dan intai gerak-geri lelaki yang keluar dari kereta itu.
“Saya mengintai dia ‘kail’ wang dalam tabung masjid yang terletak tidak jauh dari tandas menggunakan sebatang dawai besi. Lepas dia berjaya keluarkan seke­ping wang RM1, saya cuba hampirinya dan dia terus melarikan diri," katanya di sini semalam.
Mohd. Talib kemudian menghubungi ahli SRS Kampung Pengkalan Pandan yang lain dan ketika mereka memeriksa kereta berkenaan, terdapat isteri bersama seorang anak kecil sedang nyenyak tidur.
“Selepas dikejutkan wanita itu mengakui tidak mengetahui tentang perbuatan suami­nya itu kerana dia bersama anak tertidur sejak mereka bergerak dari Kuantan menuju Kuala Terengganu.
“Tidak lama kemudian, suspek berjaya ditangkap atas pertolongan wanita itu yang menghubungi suaminya itu dan memujuk agar menyerah diri," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supriten­dan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140510/je_07/Pencuri-wang-tabung-masjid-ditangkap#ixzz31GT1q38l
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment