• Mayat mangsa dibawa ke HTJS.Mayat mangsa dibawa ke HTJS.

NILAI - Seorang lelaki menemui ajal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya selepas dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kenderaan di Jalan Pajam-Mantin berhampiran Pejabat Seri Pajam di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa Saihapudin Arifin, 23, maut di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RAZ secara berseorangan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Kampung Gebok, Mantin dari tempat kerja di Kilang SKF di sini.

“Bagaimanapun sejurus sampai di lokasi kejadian motosikal dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan akibat dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti dari arah Mantin.

“Difahamkan ketika kejadian kenderaan terbabit dipercayai cuba membelok ke kanan memasuki jalan ke College Height,” katanya.

Menurutnya, perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah.

Kata Jurucakap, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampung mangsa, Bachok, Kelantan.

Sementara itu kata jurucakap, pemandu sebuah kereta kancil warna hijau nombor pendaftaran NAR1402 yang disyaki terlibat dalam kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Kereta itu dijumpai oleh orang awam di kawasan semak berhampiran Taman Sri Pajam iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Pemandu dan pemilik kenderaan diminta tampil untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian 06-7991222,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Abdullah Roning mengesahkan laporan kejadian itu.